‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.’
‘sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.’ (H.R al-Hakim)
Sahabat
Pada 4 tahun yang lalu, saya kehilangan seorang teman. Kehilangan buat selamanya. Kehilangannya sangat dirasai kerana dia antara kawan saya yang selalu mengingatkan saya pada Allah, pada perintah Allah, banyak mengajar tentang kebaikan, banyak memberi nasihat dan sebagainya.
Selepas beliau kembali ke rahmatullah, ramai sahabat bercerita mengenai perkara yang sama.
Arwah seorang yang baik, selalu mengingatkan mereka pada perintah Allah, seorang yang sabar orangnya, lemah lembut, menghormati keluarga dan ia juga diakui oleh keluarganya sendiri.
Subhanallah! Untungnya memiliki seorang kawan sepertinya.. Kehadirannyamenyenangkan hati, kehilangannya terasa di hati.. kebaikan dan nasihat olehnya terpahat di hati..
Ya Allah, kadangkala saya terfikir, adakah kita sepertinya?
Kehadiran menyenangkan, kehilangan dirasai. adakah satu hari nanti apabila kita pergi, kita akan dikenang sebegitu rupa? Adakah kawan di luar sana akan mendoakan kita?
Adakah sahabat kita akan terasa kehilangan kita?
Justeru, sebagai seorang sahabat, apa salahnya kita berusaha untuk menyenangkan hati sahabat kita yang lain sementara kita masih berpijak di bumi Allah ni, selagi hayat dikandung badan.
Apa salahnya kita mencuba untuk membahagiakan sahabat kita?
Wahai sahabat sekalian, antara ciri-ciri sahabat yang baik adalah:
Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.
Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu.
Jika engkau memerlukan pertolongan darinya, dia akan membantu kamu.
Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.
Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan daripada kamu..dia akan menghargai kebaikan kamu.
Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.
Jika engkau berdiam diri, dia akan menanyakan kesusahan kamu.
Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.
Jika engkau berkata padanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.
Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.
Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga persahabatan.
Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat.
Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Sememangnya, masih belum terlambat untuk kita semua berubah sedikit demi sedikit untuk menjadi teman yang baik. Belum ada istilah ‘lambat’ selagi hayat dikandung badan.
Jadilah seorang teman yang baik, yang membahagiakan teman kita, yang tidak menyakitkan hati sahabat kita, dan memberi kebaikan, teguran dan nasihat kepada sahabat kita.
Janganlah kita menjadi teman yang sombong yang tidak mahu menerima teguran teman yang lain, ingatlah, kawan tegur ke arah kebaikan, tanda dia sayang, andai dia berusaha bersungguh-sungguh mahu ke syurga, dia sentiasa mengajak sahabatnya yang lain untuk ke syurga bersama-samanya.
Cinta seorang kawan ketika dia mengajak sahabatnya berbuat baik kepada Allah. Sayangnya seorang kawan ketika dia menyedarkan kita apabila kita terpesong dari landasan Allah.
Kasihnya seorang teman ketika dia tidak pernah lupa berdoa untuk sahabat-sahabatnya.
Oleh itu, ayuhlah teman-temanku, bahagiakan sahabatmu sementara mereka masih ada!
Bawalah mereka ke syurga bersamamu, tiada jodoh untuk bertemu di dunia lagi, berdoalah agar bertemu di syurga kelak! insyaAllah, Allah melihat setiap usahamu walaupun sebesar zarah!
Berdoalah untuk sahabatmu yang telah pergi menghadap ilahi, semoga Allah ampunkan dosa-dosa dia, semoga Allah lapangkan kuburnya, berikan cahaya di dalam kuburnya, semoga dia ditempatkan di kalangan orang yang beriman.
Sesungguhnya doa seorang sahabat tidak ternilai harganya sama seperti nilai persahabatan. Mahal =)