....::: PENGIKUT :::....

23.7.12

Apabila Agama Menjadi Fitnah

Saya seorang yang berlatar belakang agama yang biasa. Oleh kerana Abah adalah seorang ustaz, saya juga kadangkala mendapat tempiasnya. Alhamdulillah persekitaran yang baik menjadikan saya terdedah dengan perkara yang baik dan sentiasa mahu lakukan yang baik.



Namun cabaran duniawi tidak dapat lagi dinafikan. Semakin saya membesar dan mengenali ramai orang, saya semakin tertarik dengan pelbagai cara hidup yang indah dan mempesonakan. Gaya hidup kebendaan dan hiburan. Saya sendiri merasa rugi jika saya tidak mencubanya. Namun kadang kala latar belakang agama saya menghalang saya untuk mencubanya. Maka saya rasakan hidup saya terbatas dan terkongkong.

Entah dari mana datangnya bisikan yang banyak menyuruh saya mencuba pelbagai nikmat dunia. Maka saya mencari banyak dalil yang membolehkan saya untuk mencubanya seterusnya 'menghalalkan' perbuatan saya dan mungkin membuatkan saya berasa tidak berdosa.

Atas nama kesederhanaan, saya mula berpendapat hidup ini perlu seimbang. Dunia pun kita kejar, akhirat pula jangan kita tinggalkan. Maka saya mula berjinak-jinak dengan banyak hal dunia. Hiburan, bergaul rapat dengan bukan mahram dan mementingkan harta. Dalam masa yang sama saya juga bersolat. Malah saya jarang tinggalkan solat berjemaah Maghrib dan Isyak di masjid yang berdekatan.

Saya juga menyertai beberapa organisasi keagamaan kerana saya cenderung dan minat dalam bidang dakwah. Sekiranya ada program dakwah, saya tidak akan tegah untuk menolaknya jika ada yang mengajak. Malah ada yang memanggil saya ustaz kerana kadangkala saya berpeluang berceramah di hadapan umum dan mampu mengeluarkan hadis dan ayat Al-Quran. Alhamdulillah...




Pada satu saat saya merasakan diri saya bagus. Saya lakukan aktiviti dakwah. Saya berkelakuan baik dan dihormati ramai orang. Hanya dengan penampilan saya, mereka merasakan saya baik. Tetapi dalam kebaikan itu, tanpa sedar saya juga banyak melakukan perkara yang batil dan dosa. Saya sudah kurang menjaga batas pergaulan. Kata-kata saya mula celupar. Usikan saya kadangkala mengguris hati ramai orang. Di saat inilah bila saya amati dan fahami keadaan diri saya, rupanya saya sudah jauh tersilap langkah. Tidak hairanlah saya selalu mengalami kegelisahan yang saya tidak tahu dari mana puncanya.

Hati saya mula berbolak-balik. Akhirnya saya akur dan bertekad untuk menghentikan semua pemahaman saya dahulu. Nampaknya kefahaman saya sebelum ini menjerumuskan saya dalam dunia fitnah yang sungguh besar. Fitnah pada agama.

"Alah, selalu pergi surau pun keluar dating juga"

"Selalu jadi imam, ada parti pun pergi, siap berkaraoke lagi"

"Dia yang tak tinggal solat pun boleh buat jahat, aku ni lagi la boleh"

Sedikit sebanyak perkataan di atas terdengar di telinga saya. Walaupun perkataan itu tidak ditujukan kepada saya, saya seperti terasa dan saya tahu ia adalah salah.

Hati saya terasa sungguh berdosa kerana telah menyumbang kepada fitnah ini. Saya mula menyesal dengan perkara yang saya telah lakukan dan bertekad untuk menghentikannya. Biarpun tidak mampu meninggalkan semua, namun saya mesti mencuba.

Semoga Allah mengasihani saya dan memberi kekuatan kepada saya untuk terus menentang arus duniawi yang selalu menjatuhkan nilai iman di hati saya.



Saya mula sedar kebaikan dan kejahatan tidak boleh dicampur aduk. Jika seseorang telah bertekad mahu menjayakan bidang dakwah, beliau juga perlu bertekad untuk menjaga setiap tingkah lakunya supaya manusia lain bukan hanya mendengar dari mulutnya atau membaca dari penulisannya, malah pada perbuatannya setiap hari.


Seorang pendakwah berusaha menjadikan dirinya orang yang mampu membawa agama biarpun berada dalam arus duniawi yang menentang gerakan dakwahnya. Di samping membuat beberapa pembaharuan kaedah yang seiring dengan perkembangan dunia moden, tetapi masih tidak lari daripada syariat agama.

"Dan janganlah kamu campuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahui."
(Surah Al-Baqarah: Ayat 42)

Insan Datang Dan Pergi



Sepanjang hidup kita, tidak terkira insan-insan yang hadir dan yang pergi. Ada yang hadirnya hanya seketika seperti bayu. Dia datang dan pergi begitu sahaja tanpa terkesan apa-apa dan mungkin kita tidak perasan pun akan kehadirannya, begitu juga dengan dia.

Ada pula yang datang dan begitu setia dengan kita tetapi kita tidak rasa pun kepentingan dirinya untuk terus bersama kita. Malah kadangkala mungkin kita rasa lebih baik dia tidak wujud daripada dia tidak memberi apa-apa manfaat untuk kita sehinggalah dia pergi buat selama-lamanya.

Ketika itulah baru kita rasa betapa dia sangat penting untuk kita. Pada masa itu, baru kita perasan kebaikan yang dia pernah buat untuk kita atau untuk insan-lain lain di sekeliling kita.

Pada masa itu juga, sudah tidak guna kita menangis kekesalan kerana tidak menghargai kewujudannya. Hanya doa dapat kita hadiahkan agar dirinya dirahmati di alam sana.

Ada pula yang sentiasa di sisi kita. Di saat kita susah dan juga senang. Dia sanggup buat apa sahaja untuk kita. Namun bagi kita, dia tidak lebih daripada tempat untuk meluahkan perasaan, tempat yang kita cari apabila menghadapi masalah tetapi di saat kita bahagia atau berjaya, kita seakan-akan terlupa akan kewujudannya.

Namun dia masih setia. Bila-bila masa sahaja kita cari dia, dia pasti ada untuk kita tetapi kita perlu tahu, dia juga manusia. Mungkin dia pernah makan hati dengan sikap kita. Cuma di hadapan kita, dia mungkin cuba sembunyikan perasaan itu sebaik mungkin.

Seandainya kita masih dungu, tidak mustahil suatu hari nanti dia akan membawa diri meninggalkan kita. Oleh itu, hargailah kewujudannya selagi mana dia masih di sisi kita.

Ada pula yang hadirnya berbeza dengan apa yang kita duga. Mungkin kita rasa dekat sangat dengannya membuatkan kita rasa mahu sahaja selalu bersama dengannya tetapi kita tidak tahu dalam hati dia mungkin dia rimas dengan kita. Kadangkala kita dapat capai dan genggam tangannya, tetapi belum tentu hati dia, kita dapat selami.

Mungkin kadangkala kita dapat melihat dia ketawa, tetapi kita tidak tahu apa makna disebalik senyumannya. Mungkin dia memang tidak suka berkongsi duka dengan sesiapa atau dia sememangya dia tidak percayakan kita.

Apabila dia menangis, kita ingat kehadiran kita dapat memujuknya, walhal kehadiran kita langsung tidak disenangi dan mungkin juga secara tidak sedar kitalah sebenarnya yang membuatkan dia menangis. Dalam keadaan seperti ini, kita perlu sedar, sebenarnya kehadiran kita banyak menyusahkan hidupnya. Kita perlu faham dia mungkin tidak sampai hati untuk memberitahu kita supaya meninggalkannya dan jangan menyusahkan hidupnya.

Ada juga yang hadirnya memberikan sinar dalam hidup kita. Apabila berada bersamanya kita rasa begitu tenang dan kita rasa tidak mahu berpisah dengannya. Kita sanggup lakukan apa sahaja agar dapat bersamanya. Kita jaga hati dia agar dia tidak terluka. Kita sanggup jadi tempat dia meluahkan segala masalah dia.

Kadangkala kita sendiri tidak sedar yang kita telah menjadi seorang yang sangat baik apabila bersama dengannya tetapi akhirnya, tanpa sebarang sebab, tiba-tiba kita ditinggalkan. Kadangkala kita langsung tidak faham dan tertanya-tanya, kenapa kita ditinggalkan?

Kita rasa kita sudah lakukan yang terbaik untuknya tetapi masih ditinggalkan. Kesannya mungkin sangat mendalam kerana kehadirannya benar-benar bermakna dalam hidup kita. Dalam keadaan ini, kita mungkin akan berubah sepenuhnya. Hati kita cukup terluka sehingga tidak sanggup untuk membuka hati kita untuk kehadiran insan lain. Kita juga tidak akan mendengar apa sahaja nasihat daripada insan-insan lain di sekeliling kita, hanya masa yang dapat menyembuhkannya.

Ada pula yang hadirnya menyembuhkan luka kita. Hadirnya banyak memberi sokongan dan dorongan kepada kita agar meneruskan kehidupan. Dia umpama pakar kaunseling untuk kita. Dia banyak mengingatkan kita, menyedarkan kekurangan kita dan mengubah tabiat buruk kita yang mungkin menjadi penyebab kenapa kita ditinggalkan.

Secara tidak sedar, kita sudah pulih daripada luka lama di atas nasihat dan sokongan darinya. Pada pandangannya, mungkin dia ingat kita sudah boleh berdiri sendiri dan mungkin dia rasa kita dah betul-betul pulih. Lalu dia meninggalkan kita.

Bagi kita pula, selama ini kita harapkannya akan terus bersama dengan kita. Kita hanya kuat apabila dia ada bersama kita, sedangkan dia tidak tahu sebenarnya segala kekuatan dan ketabahan itu ada bersamanya. Apabila dia pergi, maka hilanglah kekuatan itu dan kita terus mencari diri. Terasa sudah tidak percaya lagi kepada sesiapa pun, terasa ingin hidup sendiri, berdikari dan tidak mahu bergantung hidup pada sesiapa pun.

Tanpa kita duga atau tanpa kita harapkan ada pula insan yang sebelum ini pernah meninggalkan kita kembali semula ke pangkuan kita. Namun hati kita sukar kita fahami. Mungkin dengan senang hati kita dapat terima dia semula atau mungkin juga kita tidak dapat terima dia kerana sememangnya kita tidak pernah maafkannya kerana meninggalkan kita.


Dalam hati kita meraung dan bertanya, kenapa baru sekarang, bukan tiga atau empat tahun dahulu?

Mungkin juga hati kita dah tersangat keras atau sudah mati. Hati kita sudah tidak dapat terima dia lagi walaupun kita sudah memaafkannya lama duhulu. Mungkin juga dengan kehadirannya semula membuatkan hati kita yang masih berparut kembali terluka kerana dengan kehadirannya menjadikan kita ingat semula kedukaan lalu yang sebelum ini sudah terpadam dalam memori hidup kita.

Begitulah rencah dunia, kita tidak akan tahu siapa kawan dan siapa lawan sehinggalah sampai satu masa kita jatuh. Adakah tangan itu akan menghulurkan bantuan atau kita akan ditinggalkannya.

Kita tidak perlu risau memikirkan tangan mana yang akan menghulurkan bantuan dan tangan mana yang akan berpeluk tubuh dan seterusnya meninggalkan kita di saat kita sangat-sangat memerlukannya kerana apabila kita ikhlas menghulurkan tangan tidak kira kepada sesiapa pun, pasti akan ada tangan lain yang akan menghulur di saat kita memerlukan biarpun tangan tersebut bukanlah tangan yang pernah kita bantu dahulu.

Oleh itu, lebih baik kita bersifat ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada manusia. Berharaplah hanya untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Kita juga perlu sentiasa ingat, hidup kita sentiasa berputar. Jika kita pernah meninggalkan seseorang atau melukakan hati seseorang, tidak mustahil kita juga akan dilukai dan ditinggalkan suatu hari nanti dan mungkin kita akan dapat yang lebih teruk daripada apa yang pernah kita lakukan pada orang lain.

Tuhan, Aku Terlalu Banyak Dosa



Pejam celik. Pejam celik. Mata tidak juga bisa ditutup. Memerhatikan segenap ruang bilik. Terpana pada jam di dinding. Sepantas jarum saat akhirnya pasti berhenti. Tatkala,manusia pasti akan toleh ke belakang. Memikirkan tiap detik yang berlalu. Muhasabah.



Dalam suka duka, mengenang dosa-dosa semalam. Hadir rasa kesal dan kesedihan mula melanda diri. Bila rasa bersalah hadir, rasa kehambaan juga turut hadir. Mencari Tuhan, mengingati Tuhan, menyebut-nyebut nama-Nya. Menghadirkan rasa bertuhan agar menyentap sanubari.




"Ya Allah,hamba-Mu ini rasa berdosa. Terlalu. Terlalu banyak dosa."

Maka berderailah air mata. Tidak tertahan-tahan lagi. Pada tangisan ia kembali kepada fitrah insani, mencari Tuhan tatkala rasa bersalah. Terlukis kerinduan hadir dari hati yang dihimpit perasaan ingin dibelai Tuhan.

Oh Tuhan.

Aku manusia biasa. Aku bukan malaikat. Manusia itu sering lupa dan leka. Gembira dengan kesenangan, sedih dengan kesusahan. Kiranya aku fikirkan aku sudah cukup bahagia. Tapi adakah aku tenang? Hari-hariku bukan lagi mentaddabur bacaan Al-Quran. Solatku kini bukan lagi khusyuk. Hatiku tidak lagi dijamu dengan roh usrah, tazkirah dan ceramah setiap hari. Aku lalai di sini.


Di sini. Di celah kesibukan.

Tapi aku bukan manusia jahat. Tidak pernah sesekali ku teguk minuman syaitan. Tidak pernah ku menjejakkan kakiku ke tempat maksiat. Aku tidak menyentuh yang bukan halal untukku. Aku hanya manusia biasa. Aku menunaikan sembahyang. Aku berpuasa di bulan Ramadan. Aku manusia biasa!

Tapi, kurasakan kini ibadahku seakan-akan tiada roh.
Tiada rasa haya' kepada-Mu! Tiada rasa takut kepada-Mu!
Di manakah semangat itu menghilang?
Di manakah air mata yang sering mengiringi bacaan doa?

Hatiku tidak dapat merasai kenikmatan doa. Aku jadi takut. Pelbagai perkara bermain di fikiranku. "Ya Allah gelapnya hati hambaMu ini!". Hati meronta-ronta, lepaskanlah aku! Lepaskan aku daripada perasaan ini. Diri seakan-akan terasa sangat jauh daripada-Mu.

Hati manusia ibarat besi. Setiap dosa yang dilakukan akan melekatlah karat padanya. Tapi karat itu boleh di cuci dengan solat dan doa. Namun lama kelamaan jika karat itu tidak dibersihkan, akan semakin besarlah ia, dan semakin sukarlah untuk dibersihkan . Maka semakin hitam dan gelaplah hati kita. Ketika ini setiap dosa yang dilakukan tiada lagi dirasakan dosa bagi dirinya.

Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah.

"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang". (Surah Al-Ra'd 13:28)

Ku ulang-ulang. Ku panggil-panggil nama-Mu. Ku sebut-sebut nama-Mu. Kembalikanlah aku semula. Usah Kau palingkan aku setelah Kau beri hidayah petunjuk-Mu. Aku ini lemah Ya Allah. Kau peganglah hatiku, tautkanlah hatiku di jalan ini. Aku ingin tenang dalam mencari keredhaan-Mu di setiap perjalanan hidup ini.

Allah.

Aku tersedar. Aku tersentap. Kenapa aku mahu jadi orang biasa-biasa? Kenapa tidak ingin menjadi yang lebih baik? Tidak berbuat dosa tidak bermakna aku sempurna. Tidak minum arak tidak bermakna aku terlepas dari melakukan dosa-dosa kecil. Sembahyang 5 waktu tidak bermakna aku sempurna.

Bagaimana dengan dosa-dosa kecil? Aku lalai. Aku lalai! Aku lalai Ya Allah! Terima kasih ya Allah kerana menyedarkan aku. Terima kasih atas hidayah-Mu. Ku panjatkan segala doa kepada-Mu.

"Zikir itu, penghias hati, tasbih menghias lidah. Beruntungnya hati bila masa menguasai, bermegahlah lidah, dengan ucapan sering memuji Allah SWT"

Wahai Tuhan yang Maha Mendengar, kepada siapa hamba mahu mengadu, sekiranya bukan kepada-Mu? Kepada siapa lagi hendak hamba menagih simpati, jika tidak kepada-Mu? Kepada siapa untuk hamba pinta kekuatan, ketika seluruh daya seperti dicabut daripada tubuhku?



Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui. Tegarkanlah, pasakkan jiwa ini untuk berada pada jalan-Mu untuk selamanya. Jangan sekali-kali Kau biar diri ini tandus dimamah kefuturan. Menjauh dari-Mu, meminggir dari-Mu dan melupakan-Mu. Kuatkan hati ini wahai Tuhan. Kerana tiada siapa tahu kehidupan hamba-Mu ini nanti akhirnya melainkan hanya Engkau. Amin ya Rabb.

Aku Bukan Seperti Masa Silamku!

Bermula dengan celiknya mata di pagi hari, hingga terpejamnya mata di waktu malam, setiap daripada kita akan berhadapan dengan bermacam-macam pilihan. Nak bangun pukul berapa, mahu pakai baju warna apa, ingin makan apa, nak buat apa, nak pilih yang mana....Semuanya terpulang pada diri sendiri untuk memilih. Pendek kata, aktiviti membuat pilihan bukanlah suatu yang asing.

Sebab itu jalan cerita kehidupan setiap manusia berbeza. Ada zaman silamnya dipenuhi dengan noda dan dosa. Ada pula yang dilimpahi 1001 kenangan manis terindah. Dan ada yang diselingselikan dengan pelbagai ujian dan cabaran sehingga membuatkan jiwa seseorang insan itu begitu kental sekali menghadapinya.




Namun, dalam banyak-banyak aktiviti memilih jalan kehidupan, yang paling susah ialah sama ada mahu memilih islam yang jelas sebagai jalan hidup atau menelusuri jalan jahiliyyah yang penuh tipu daya.

Apakah yang dimaksudkan dengan jalan-jalan ini?

Apabila kita memilih islam sebagai jalan hidup, secara automatiknya kita sedang menjauhi jalan jahiliyyah. Dan apabila kita tidak memilih islam sebagai jalan yang patut dilalui, secara automatik jugalah kita sedang menjejak di jalan jahiliyah.
Jadi, Allah pilih kita untuk lakukan sesuatu mesti Dia tahu kita boleh lakukan.

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah Al-Baqarah ayat 286)


Kalau tak, kita tak akan dipilih oleh-Nya untuk terus hidup di muka bumi ini. Walau diri kita ini kotor, jijik dan penuh berdosa namun kita tetap masih ada peluang. Biarkan hati sembuh dari luka lama dan bangkitlah semula. Buktikan kepada Allah kita hamba yang reti bersyukur kepada-Nya. Kita tidak akan sesekali mensia-siakan peluang bertaubat yang diberi-Nya berkali-kali.

"Orang yang BERJAYA ialah orang yang MEMAKSA DIRInya BERUBAH manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa!"

Hidup ini adalah perubahan. Kata bijak pandai, yang tidak berubah hanyalah perubahan. Manusia tidak akan mampu menahan perubahan. Ia mesti berubah, atau dipaksa berubah. Mereka yang berubah dengan rela akan berjaya. Manakala yang berubah dengan terpaksa akan gagal.

Dan kita bukan seperti masa silam. Kita adalah kita yang sekarang.

When I'm With Him






Fatima puts her books into the locker. She looks at something which is pasted on the inside of her locker door and smiles. Her friend, Anis, sees her smiling from afar. Out of curiosity, Anis walks up to Fatima to check out what she is smiling about.

"Hey!" Anis surprises Fatima. Fatima jumps and automatically closes her locker door.

"Oops, sorry, Assalamu'alaikum," says Anis while smiling sheepishly.

Fatima shoots a dagger look at Anis. "Wa'alaikumussalam."

"Heh heh. What were you smiling about?" Anis asks eagerly.

"Wha? Oh ...eh, how did you know I was smiling? Were you stalking me or something?" Fatima looks at Anis questioningly.

Anis smiles innocently. "Aw, come on, you can tell me. Is he your new crush?" asks Anis while wiggling her eyebrows.

"What?! Crush? ... Hmm, he is not exactly my crush. And he is not 'new'. Technically, he has been there for me since, like, forever..." Fatima stares dreamily into space.

"Oi! There you go, again. Thinking about him, huh?" Anis nudges her friend.

"Eheh. Sorry," Fatima replies and smiles sheepishly.

"So, what makes him so special?"

"Ah, first and foremost, he loves me. You know, he is always there for me. He teaches me the right way to do things. Even when I do things that are against his teachings, he still forgives me..." Fatima's eyes start to water.

"Wow..."

"...He also gives me strength to go on in this life. He never leaves my side. He always listens to me no matter how ridiculous my stories are. Yup, I can totally be myself around him. And when I'm with him, I feel stronger. You know, I feel like I can totally achieve what I want in my life because I know he will help me. He gives me confidence..."

"Wow, again..."

"The funny thing is, I didn't know that he was with me the whole time. You know how I used to be sad and depressed all the time? Now, that I'm with him, I don't anymore. He is just so special, you know?"

"Woah, Fatima, you're totally in love, girl! Pleaseeeeee I'm dying to know his name!"

Right at that moment, the bell rings. Fatima suddenly remembers that her class is about to start soon. She only manages to wink at Anis before zooming off to class. Anis sighs and scurries off to her class.



In the English class, Fatima and her classmates are asked to write a short poem about the one that they love most in the world. It can be a person, a hobby or anything. As long as they hold it dear to their hearts. Fatima knows who she is going to write a poem about the second her teacher finishes giving her instruction.

When I'm With Him

I never feel lonely

I feel real love

I feel like I can be myself

I feel strong

I feel like I can achieve anything

I feel grateful

Because I am finally with HIM

Where I belong




"Gosh, you're so loved up!" Fatima jumps to the familiar voice, again. She looks up and sees Anis ...with a glee on her face.

"Anis, stop surprising me!" she playfully shoves Anis. "What are you doing here anyway?"

"You promised to have lunch with me yesterday, remember? So, here I am. Waiting for you to stop day-dreaming so we can have lunch together," says Anis while gesturing towards the cafe.

"Oh, right. Yup, let's go," Fatima says while dragging Anis to the cafe.



"So, who is your special someone? Please Fatima, you're killing me here. Is it Daud? Or Ahmad? Or that dude who works at Pizza Hut that you thought were, er, 'cute'?" Anis asks Fatima when they are finally seated at a table at the cafe. Her eyes are bulging with anticipation.

"What? No! He is waaaaaaaaaaaayyy more special than them," Fatima says and smiles widely.

"Okay, then tell me who he is already!" Anis frowns.

"Aw, don't be mad. Okay, I'll tell you tomorrow. Meet me at my locker in the morning before class. You know, the exact same place where you ambushed me this morning..."

"What? Tomorrow? I'll die by tomorrow! Tell me today!"

"Don't be a drama queen," Fatima brushes off her friend's threat and pops in a small meatball into her mouth.



The next morning, Anis is already standing in front of Fatima's locker with a look of excitement on her face when Fatima arrives at school.

"Assalamu'alaikum, you're strangely early today," says Fatima while opening her locker door.

"Wa'alaikumussalam. What? I'm always early..."

Fatima laughs softly while loading books into her locker.

"Are you ready to know who my love is?" she asks Anis who is standing behind the locker door.

"Yup. Have been ready since yesterday."

Fatima opens her locker door widely so Anis can see what is pasted on the inside.

"Masya-Allah!" is the only word that comes out of Anis' mouth.

Air Dicincang Takkan Putus

Adik-beradik kita sebenarnya merupakan satu anugerah yang tidak terhingga. Bukan semua orang di atas dunia ini dapat memiliki adik-beradik. Namun, saban hari kita terdengar dan terlihat di dada akhbar kes-kes pergaduhan antara ahli keluarga, malahan ada yang sampai ke tahap memutuskan hubungan silaturrahim antara adik-beradik.

Jelas, semakin hari tindakan manusia bukan lagi didorong oleh syariat dan kasih sayang. Ada kala tindakan kita bertentangan dengan hukum Allah seperti dalam firmanNya yang bermaksud:





"Maka apakah ada kemungkinan jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang yang dilaknati Allah dan ditulikan mereka dan dibutakan penglihatan mereka."
(Surah Muhammad, ayat 22-23)

Usah kita lupa bahawa nikmat memiliki adik-beradik ini tidak lain hanyalah pinjaman sementara daripada Allah SWT untuk seseorang hambanya.

"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah..."
(Surah al-Baqarah, ayat 284)

Adik-beradik juga menjadi tempat bergantung antara satu sama lain setelah ketiadaan orang tua. Selalunya abang-abang dan kakak-kakak atau yang lebih tua akan mengambil alih tugas menjaga adik-adiknya setelah ketiadaan orang tua. Apabila matinya seorang ayah bagi seorang anak perempuan, maka adik-beradik lelakinya akan menggalas tugas sebagai wali.

Perlu dititikberatkan dalam menjaga hubungan antara adik-beradik ini ialah sifat kasih sayang dan rasa hormat antara satu sama lain. Sebagai contoh, adik-adik perlu menghormati kedudukan abang dan kakaknya selagi tindak tanduk mereka tidak bertentangan dengan syariat Allah. Bahkan, wajib bagi seorang anak itu menjaga hati abang dan kakaknya dengan tutur kata yang baik dan juga dari segi perbuatannya. Setiap perbuatan yang mungkin menguris hati saudara kita akan menjadi titik permulaan sesuatu perbalahan justeru membawa kepada pepecahan.

Dan antara perkara penting dalam menghargai kurniaan Allah ini kepada kita ialah menjaga adab sesama adik-beradik. Andai kata ada perkara salah dan silap dilakukan oleh adik-beradik kita, maka tegurlah dengan cara yang berhikmah kerana dengan itu pihak yang ditegur akan merasa lebih selesa untuk menerima teguran, bahkan marasakan diri mereka lebih dihargai.

Sentiasalah kita memohon perlindungan daripada Allah daripada ancaman dan rancangan jahat syaitan yang seringkali cuba memecahbelahkan hubungan kekeluargaan yang sukar dibina oleh ibubapa kita. Wujudnya adik-beradik ini bukan sekadar menunjukkan kekuasaan Allah yang memberikan rahmat kepada kita, tetapi ia adalah tanda hasil usaha penat lelah kedua ibu bapa kita yang melahirkan serta bekerja keras untuk membesarkan kita semua. Percayalah, keberkatan yang dikurniakan Allah memalui hubungan silaturrahim akan membawa kepada terbukannya pintu-pintu rezeki. ''Barangsiapa yang ingin dimudahkan rezeki dan dipanjangkan usianya, hendaklah ia sentiasa menjaga silaturahim.'' (Hadis Riwayat Muslim)

Memang sukar bagi mereka yang hidup dalam keluarga yang ramai adik-beradik untuk menjaga keharmonian dalam keluarga, namun peranan menjaga hubungan antara adik-beradik ini adalah perlu untuk memastikan hubungan silaturrahim sentiasa berada dalam keadaan kukuh.

Walau apapun yang berlaku, jangan dilupa pepatah yang mengatakan hubungan adik-beradik ini umpama "air yang dicincang, tidak akan putus". Hargailah mereka kerana mereka juga darah daging kita sendiri.

Wallahu'alam.

17.3.12

Sahabat, Kau Istimewa...








Terlalu sunyi kehidupan ini tanpa kehadiran seorang sahabat yang sejati.
Bertambah sunyi tanpa sesiapa yang menemani. Dalam mengharungi keindahan berteman dan bergembira, tentunya ada tercalit sedikit sebanyak sembilu yang terbenam di jiwa. Namun, biasanya sahabat akan terus memendam rasa demi persahabatan yang dicinta. Diamnya penuh doa agar persahabatan akan berlangsung dengan lebih sempurna. Sebarang kekurangan akan bisa diperbaiki segera.

Tatkala berteman, jagalah tutur kata. Bergurau menambah ceria, namun terlebih gurau juga kan menukar rasa. Kita jangan samakan sahabat kita seperti kita. Mungkin sesuatu yang boleh kita terima dan kita anggap simple, namun baginya sesuatu yang sensitive yang boleh mengundang sedikit hampa.
Selami hati sahabat kita, sepertimana kita mahu dia memahami kita dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang tidak kita suka.
Seorang sahabat akan menerima segala baik buruk yang ada pada diri sahabatnya. Kerana dia tahu, sahabatnya itu tidak sempurna dan sahabatnya itu memerlukan dia untuk sama-sama memperbaiki sebarang cela. Jika kita hanya mencari kesempurnaan untuk menobatkan seseorang sebagai sahabat, kita sedang mencari bayang-bayang hitam yang sememangnya tidak akan pernah tergenggam.

Kau punya cara dan dia jua.
Janganlah kita mempersenda atau memperlekehnya hanya kerana caranya yang sedikit berbeza atau sedikit pelik berbanding orang lain. Hormati caranya selagimana ia tidak menyalahi apa-apa. Biarlah dia dengan sifat diamnya, kita tidak boleh memaksanya membuka mulut menjadi seperti yang kita suka. Atau biarlah dia dengan kegirangannya,dan kita boleh untuk tumpang ceria.

Dan, paling penting.. seorang sahabat tidak akan pernah membuka cerita tentangmu kepada teman-teman yang lain. Dalam erti kata lain, mengumpat! Sahabat akan selalu melindungi sahabatnya dari menjadi buah mulut orang lain. Menegur tidak salah malah itulah tanda cinta.
Tapi, bagaimana caranya? Ajak dia berbincang dengan baik, bersemuka dua muka, dan bagitahu sedalamnya apa kesalahan yang telah diperbuat. Bukannya kita mencari kesalahannya dan membuka sesi bual bertopikkan dia.

Jika sama-sama cuba mencari jalan penyelesaian, itu tidak mengapa. Perindahkan cara supaya tiada hati yang akan terluka. Apa guna persahabatan yang di luaran memang rapat tidak berjauhan, tetapi di hati menyimpan sesalan dan cemuhan.

Sahabat itu istimewa, kerana perhubungan sejati kerana Ilahi tidak akan terpisah, berjauhan akan bersambung melalui untaian doa yang tidak sudah, kematian ditemani kiriman-kiriman doa sebagai hadiah, dan inshaAllah bertemu pula nanti di alam syurga yang indah.

5.2.12

Falsafah seekor Nuri…




Ada sebuah kedai menjual binatang peliharaan yang menjual pelbagai jenis burung. Ada burung merpati, ada burung tekukur, ada burung pipit dan pelbagai lagi jenis burung peliharaan. Dalam kalangan burung yang banyak itu, ada seekor burung nuri yang cukup petah berkata-kata.
Nani namanya. Burung ini telah dipelihara oleh pemilik kedai itu sejak dari kecil lagi. Nani mempunyai satu kelebihan. Setiap kali ada yang memasuki kedai itu, Nani akan terus memberikan ucapan “Assalamualaikum”.
Ucapan ini diucapkan berulang-ulang kali tanpa jemu setiap kali pelanggan memasuki kedai itu. Hasil kelebihan burung inilah, kedai ini sentiasa menjadi tumpuan para pencinta haiwan peliharaan. Nuri diletakkan di dalam sebuah sangkar berhampiran dengan pintu masuk kedai tersebut.
Pada satu hari, masuklah seorang lelaki Inggeris ke dalam kedai tersebut. Lelaki ini seorang atheist dan cukup anti dengan sebarang bentuk amalan yang mencerminkan agama. Takkala lelaki ini memasuki kedai, Nani seperti kebiasaan terus mengucapkan ucapan salam kepadanya.



Lelaki ini terus berubah menjadi marah dan merenung tepat kepada si Nuri itu. Nani direnungnya tanpa berkelip. Nani kemudiannya memberikan ucapan salam sekali lagi kepada lelaki itu memandangkan dia masih belum melangkah masuk melepasi sangkarnya. Satu bentuk rutin yang telah diajarkan kepadanya sejak dari dahulu lagi.
Takkala mendengar lagi ucapan salam itu, lelaki itu menjadi marah dan menghendik dengan kata-kata kesat kepada Nani. Nani hanya berdiam diri. Berang melihat keadaan itu, lelaki itu bertindak menggoncang-goncangkan sangkar Nani.
Burung itu terbang tidak tentu hala sebentar dan kemudiannya hinggap kembali ke tempat bertenggeknya. Letih bersikap demikian, lelaki itu berdiri dan merenung kembali si Nuri itu. Tidak lama kemudian, Nani memberi salam kembali kepada lelaki tersebut. Lelaki itu berdiam diri dan berfikir sejenak.
Tiba-tiba terlintas di fikirannya untuk melakukan sesuatu yang buruk kepada si Nuri. Setelah menoleh dan memastikan tuan punya kedai terlalu sibuk melayan pelanggannya, lelaki itu mengambil sebotol racun yang kebetulan ada di dalam poketnya. Racun yang tidak berbau dan berwarna. Dia menuangkan racun itu ke dalam bekas minuman Nani. Lelaki berkenaan mengangkat kaki setelah berjaya melakukan tindakan itu.
Nani meneruskan lagi rutin kehidupannya seperti biasa. Terus menerus memberikan salam kepada sesiapa yang memasuk ke dalam kedai. Setelah beberapa ketika, burung itu berasa haus dan meneguk air yang telah diracuni itu. Nani berasa cukup sakit dan lemah. Tiba-tiba ia jatuh rebah dan kemudiannya mati.
Jalan cerita di atas sebenarnya merupakan satu analogi kepada kehidupan umat Islam sekarang. Ramai yang tahu menyatakan diri mereka Islam, namun ucapan itu sekadar hanya meniti di atas bibirnya sahaja. Diulang-ulang ibarat sang Nuri tanpa difahami erti sebenar yang terkandung di dalamnya.
Takkala musuh melakukan sesuatu yang memudharatkan, mereka bangkit menyelamatkan diri. Takkala musuh berdiam diri, kita turut sama berdiam diri. Diam musuh diam berisi, diam kita tin kosong. Musuh sentiasa gigih berfikir pelbagai cara lain untuk menjahanamkan agama ini. Jahanam dengan cara tanpa boleh dibuktikan kejahatan mereka.
Maka digunakanlah pelbagai jenis “ racun-racun ” berbisa yang bukan sahaja menggugat aqidah, malahan meresap dan mematikan umat ini. Mematikan roh perjuangan umat yang ramai ibarat buih di lautan. Maka matilah seorang demi seorang muslim yang sedang leka dicandui fatarmogana kehidupan. Mempunyai akal namun tidak digunakan sebaik-baiknya. Satu kitaran bodoh kehidupan yang berulang-ulang…..
“ Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau & main-main sahaja. Dan sesungguhnya akhirat itulah sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui. ”
(Surah Al-Ankabut, ayat 64)

18.1.12

Kenapa Ibadah Terasa Berat?





Kenapa ibadah terasa berat?
Bila Allah memerintahkan kita untuk makan dan minum, mengapa kita melakukan dengan senang hati?
Bila Allah memerintahkan untuk berkahwin, mengapa kita bersegera menyambutnya?
Bia Allah memerintahkan untuk mencari harta dunia, mengapa kita kerjakan dengan bersemangat ?
Kerana kita menganggap bahawa itu adalah suatu keperluan..

Ketika Allah memerintahkan kita untuk solat, mengapa kita menunda-nunda?
Ketika Allah memerintahkan kita untuk berpuasa, mengapa enggan rasanya?
Ketika Allah memerintahkan kita untuk membayar zakat, mengapa hati terasa berat?
Ketika Allah memerintahkan kita untuk berjihad, mengapa kita merasa malas?
Kerana kita menganggap bahawa itu adalah suatu kewajipan..

Mengapa kita membeza-bezakan?


Bukankah semua itu sama-sama perintah Allah?


Atau kerana kita hanya menuruti hawa nafsu kita?

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” QS.Al Jatsiyah:18
“Apakah engkau tidak perhatikan orang yang telah menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya. Apakah engkau akan dapat menjadi pelindungnya. Atau apakah engkau mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu hanyalah seperti binatang ternak bahkan lebih sesat lagi.” Qs. Al Furqan: 43-44)
Andai kita dapat menjadikan ibadah menjadi suatu keperluaan tentu semua akan terasa ringan. Akan hadir kerinduan untuk selalu melakukan kebaikan. Rindu untuk mengerjakannya solat, puasa, zakat, dakwah, jihad dan yang lainnya dengan sepenuh cinta.
Sudahkan kita menjadikan ibadah menjadi keperluan, bukan hanya sebagai kewajipan..

17.1.12

Apa Khabar Jodohku..





Apa khabar jodohku? Sihatkah? Berat rasanya kelopak mataku tertutup. Bagaimana dengan kamu? Apa kamu selalu terbangun disepertiga malam terakhir? Dan apakah mulutmu terasa menerus -menerus berzikir dimalam hari?

Jujur aku rindu kamu, wahai jodohku..
Tapi saat ini belum saatnya untuk kita bertemu, bukannya aku tak mahu, atau aku tak rindu. Tapi sememangnya kerana perjalanan kita masih panjang. Dan masih banyak kewajipan yg harus kita penuhi sayang. Kadang – kadang aku berfikir, apa nanti saat subuh tiba kau akan membangunkanku? Mengajakku bertafakur dan bersujud kepada-Nya?
Berat hati ini menantikanmu, gelisah pula hati ini memikirkanmu. Apa kau selalu hiasi langkahmu dengan kebaikan-kebaikan? Dan apakah nanti saat zuhur tiba, kau akan meninggalkan kesibukanmu sementara, untuk menghadapNya?

Jodohku, sihatkah kamu?
Kalau aku berada disamping mu saat ini, mungkin aku akan merawatmu dengan penuh kasih sayang.

Jodohku sabar dan tenanglah..
Aku disini masih bersabar menanti mu, Hatimu tidak terluka kan? senyumlah.. kerana aku yakin kebahagiaan akan selalu menyertai kita, Jikalau detik ini hatimu sedang terluka, berwuduklah.. dan mendekatlah diri kepada-Nya. Tetapi disini aku berharap kamu baik-baik saja..

Jodohku, aku rindu..
Bilakah kita akan bertemu? Begitu banyak hal yg ingin ku ceritakan kepadamu. Begitu banyak pula harapanku untuk menantikan nasihat – nasihat mu. Hati ini kosong.. dan hati ini tak sabar menanti kehadiranmu yang kan membalut dan menyembuhkan luka dihatiku.

Jodohku…
Adakah kau juga rindu padaku? Bagaimana dengan Quran mu? Sudahkah kau baca diantara maghrib dan isyak? Apa yang kau fahami dari surah itu? Ceritakanlah kepadaku.. Aku sedia mendengar, dan begitu juga dengan keluhanmu, aku sedia mendengarnya..
Apa perubahan yang kau lakukan dari hari ke hari sayang? semakin baikkah?
Aku berharap seperti itu, Jodohku..
disetiap langkahku dan seusai solatku..
ku bisikkan AL-Fatihah untukmu, agar kau selalu berada dijalan-Nya..
Sabarlah sayang, waktu-waktu ini bukanlah waktu yang lama..
Jangan sampai kau tersalah jalan sayang..

Jodohku..
nantilah aku, dengan perbagai kebaikan yang nantinya akan membawa Rahmat untuk kita, Jagalah dirimu dari hal-hal yang dilarang agama. Kerana aku mencintaimu secara tulus & ikhlas

Jodohku..
Bersiaplah kau untuk mencintaiku scara tulus dan mahu menerima segala kekuranganku. Dan membenarkanku dikala aku salah. Sayang… berusahalah membahagiakan orang tuamu… dengan menjaga sikapmu dan tuturkata mu.. Aku yakin kau adalah orang yang sabar, orang yang cekal membesarkan anak – anak kelak Jangan pernah merasa keseorangan.. kerana aku disini masih setia menantimu..

Jodohku..
kalau siang sudah berlalu.. pejamkan matamu dengan buaian doa, begitu juga ucapan doa dariku yang selalu menyertaimu…
Semoga ALLAH selalu menjadikan kita dijalan yang benar. Amin…

Jodohku..
Tak terasa penatku menaip pada keyboard ini, memang benar ini adalah tanda kerinduanku kepadamu,
Ingatlah sayang..
aku selalu ada untukmu..
Untuk itu jangan pernah kau merasa sendiri atau sepi..

Semoga kerinduanku ini akan terjawab, seiring berjalannya waktu.
Salam hormatku dan sayangku untukmu…. :)

Tarbiah TUHAN hebat




Kadang-kadang,
Kita selalu melihat kehidupan orang lain yang lebih baik.
Kita melihat dia punya segala-galanya.

Kita merasa,
Dia selalu bahagia.
Semata-mata kerana dia punya apa yang tidak kita ada.

Tapi sebenarnya,
Kehidupan kita ada sisi yang lebih baik darinya.
Cuma bila kita tak membuka mata,
Untuk menilai ujian sebagai bonus untuk “top up” nilai-nilai kehidupan,
Maka yang terlihat hanya kekurangan.

Kenapa tidak mengambil peluang,
Agar kekurangan kita membuat kita sedar diri,
Agar keaiban kita membuat kita malu untuk mengumbar aib orang lain,

Kadang-kadang,
Apa yang kita takde itulah,
Yang membuat kita menghargai apa yang orang lain sia-siakan.
Kekurangan kita itulah,
Yang membuat kita mensyukuri perkara2 kecil yang orang lain abaikan.

DIA mengajar kita dengan caraNYA..
Cuma bila kita tak redha, dan tak mahu terima,
Maka kita akan rugi, belajar ‘direct’ dari tarbiahNYA.

8.1.12

Kemuncup Dalam Perjuangan Dan Dasar PAS Yang Dijamin Majlis Syura





Mehnah atau tribulasi dalam perjuangan Islam adalah sunnatulLah, bagi menguji dan memperkukuhkan jamaah dan membina kekuatan mujahadah bagi ahli.

Dalam sejarah perjuangan Islam yang panjang ini, kita meyaksikan betapa beratnya ujian atau mehnah yang dihadapi oleh jamaah dan ahli yang mendokongi jamaah tersebut. PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang lama di  negara ini telah lali dengan pelbagai mehnah yang dihalakan kepada jamaah ini. Kita pernah diharamkan, dibatalkan logo, disekat aktiviti, didenda dan sebagainya, namun parti  terus berkembang hingga kini.

Manakala tribulasi kepada ahli berlaku setiap hari, samada kecil atau besar, ujian tersebut ianya akan pasti berlaku. Panduan kita ialah kenyataan:

"Andainya anda menyertai mana-mana jamaah Islam, lalu anda tidak menerima apa jua mehnah dan ujian, maka semak semula jamaah yang anda sertai itu, kerana mungkin ianya bukan jamaah yang menepati kriteria jamaah Islam.”

Sekiranya setelah anda semak dan teliti, ternyata benar ianya adalah jamaah Islam, maka semak pula apakah anda bekerja untuk Islam atau tidak. Kerana mungkin kalau anda tidak menerima apa jua ujian atau mehnah, mungkin sebenarnya anda tidak bekerja untuk Islam, melainkan untuk diri sendiri.” 

Kenyataan itu mencerminkan betapa mehnah dalam perjuangan Islam adalah lumrah dan sunnatulLah. Itulah yang menyebabkan kita merasai kemanisan berada dalam jamaah dan kenikmatan bersama jamaah memperjuangkan Islam sebagai cara hidup ummah, selaras dengan tuntutan Islam.

Dalam sejarah yang panjang ini, PAS menyaksikan ada ahli dan pimpinan yang muncul dan hilang. Kehilangan dari medan terkadang bukanlah lari dari perjuangan, ianya hanya rehat sementara dari kepenatan yang panjang atau menceburi jalan dan uslub lain yang sesuai dengan jiwa dan tenaga semasa.

Apapun, ianya adalah manik-manik embun waktu pagi bersinar mengerlip dengan cahaya matahari, tapi ianya akan kering dek kepanasan matahari yang menyerinya diawal pagi. 

Namun ada jua yang terus hilang dari medan perjuangan. Kenapa ianya hilang? Semua ada jawapan sendiri,  kita tidak perlu berbahas di atas hujah masing-masing. Apa yang penting jamaah mesti dipelihara, dijaga dan dimantapkan bagi meneruskan agenda besar yang menjadi kewajipan perjuangan Islam.

Kita tidak perlu meratapi kehilangan, walaupun kita sanga sedih di atas kehilangan itu. Kita mesti terus memandang kehadapan dangan penuh yakin bahawa satu hari Islam akan berada dipuncaknya.

Kita hanyalah mata rantai bagi memusingkan roda Islam itu. Kalaulah Allah kehendaki, ia boleh sahaja menukarkan dengan mata rantai lain dan roda itu terus berpusing sampai kemuncaknya.

Suatu hari, bilamana saorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w "siapakah di kalangan manusia yang sangat berat ujiannya, lalu jawab Rasulullah s.a.w yang paling berat ialah nabi-nabi, kemudian mereka yang mengikuti nabi- nabi  (para sahabat) dan mereka yang mengikuti  dibelakangnya ( tabieen).

Hadis ini membuktikan bahawa ujian yang ditempuhi oleh pimpinan tidak sama dengan ahli biasa, demikian juga ujian waktu kalah tidak akan sama dengan ujian di saat kemenangan. Besarnya mehnah ini memerlukan kita istiqamah dalam jamaah, mengikuti tartib jamaah dan sentiasa wala' pada pimpinan. Itulah erti berada dalam jamaah Islam. 

Kita tidak perlu bimbang soal sesuatu dasar yang diputus dalam jamaah kerana kita punya Majlis Syura yang memandu jamaah agar semua keputusan jamaah tidak bercanggah dengan dasar Islam yang menjadi teras perjuangan.

Majlis syura ulamak yang terdiri dari Mursyidul Am Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz, dan timbalannya Dato' Dr Haron Din dan jawatankuasa adalah badan pemantau perjalanan parti agar selaras dengan dasar Islam yang menjadi dasar parti.

Majlis Syura juga adalah badan penapis segala program parti, bahkan kesemua calon yang akan bertanding dalam mana-mana Pilihanraya akan disahkan oleh Majlis Syura. Mekanisme ini tiada dalam mana- mana parti lain, sehingga semua hala tuju dan dasar parti mesti menepati kehendak syarak.

Manakala Muktamar Agong adalah ruang terbuka untuk membahas dan membincang hala tuju atau masa depan parti, begitu juga kewujudan dewan-dewan yang menjadi sayap penting parti bagi memastikan dasar yang telah diputus dapat berjalan dengan sempurna dan berimbang.

Andainya ada pihak yang mempertikai sesuatu yang telah menjadi dasar parti, maka itu bermakna mempertikaikan keputusan syura, muktamar agong dan pendirian parti. Ianya tidak sepatutnya berlaku. 

PAS tidak pernah lari dari dasar perjuangan. Kita tetap dengan dasar yang sama yang telah termaktub dalam perlembangaan parti. Hal itu tidak perlu dipertikai lagi.

Apa yang perlaku ialah PAS telah membuat anjakan paradigma perjuangan, dengan pendekatan baru yang lebih terbuka dari sudut pendekatan bagi menterjemahkan realiti Islam sebagai 'rahmatal lil 'alamin'. 

Perubahan dan anjakan ini selaras dengan perkembangan semasa dengan arus perubahan pemikiran, media dan realiti rakyat. Perubahan kaedah atau uslub, bukan bermakna perubahan dasar dan prinsip. Namun sebahagian yang biasa dengan pendekatan lama yang statik akan menganggap ianya perubahan dasar dan prinsip perjuangan. Ianya seumpama menukar cover sofa dan mengalihkannya dengan susunan baru, serta menukar warna  langsir agar lebih ceria. Namun perubahan ini ada yang merasakan perubahan seluruh ruangtamu itu.

Perkembangan ini menggerunkan musuh, dan mereka mula menyerang bahawa PAS yang berkembang ke arah 'rahmatal lil a'lamin' telah terpesong daripada dasarnya. Motif mereka hanya satu, mereka tidak ingin melihat PAS berkembang, mereka hanya ingin melihat PAS kekal jumud dan terbelakang. Sepatutnya sebagai ahli PAS, kita harus membantu jamaah menerangkan perkara ini dan bukannya menyanyikan lagu musuh di media musuh mempertikaikan dasar parti sendiri.

Apapun, ini hanyalah kemuncup dalam perjuangan. Kita mempunyai tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan. Ibarat bermain bola, jangan sibuk  mencabut kemuncup yang lekat diseluar atau stokin; teruskan permainan sehingga selesai perlawanan ini. Tumpuan kepada usaha memenangi perlawanan menyebabkan kita tidak akan terasa adanya kemuncup di seluar dan stokin. Jangan leka mencabut kemuncup sehingga pintu gol terlopong tanpa penjaga.

Jika ada pemain yang dilihat semakin tidak menjadi team player dan menyusahkan seluruh pasukan kerana beliau tidak setuju dengan taktik 4-4-2 yang diputuskan, jurulatih pasukan terpaksa bertindak untuk menegur, dan sekiranya keadaan tidak berubah, menggantikannya dengan pemain lain yang lebih bersifat team player. Ini terpaksa dilakukan supaya pasukan itu dapat memfokuskan segala tenaganya untuk menembus gawang gol lawan daripada membazirkan masa menjawab dan memotivasikan pemain mengapa taktik 4-4-2 digunakan hanya kerana beliau lebih sukakan 6-4-0.


Diharap sedikit kiasan ini dapat membantu jamaah dan ahli-ahli PAS untuk bergerak ke hadapan dengan hala tuju yang sama.


Salam perjuangan.


Ustaz Dato'Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

Apakah benar kita berjuang ?

Engkau ingin berjuang 
tapi tidak mampu menerima ujian 
Engkau ingin berjuang 
tapi rosak oleh pujian 
Engkau ingin berjuang 
tapi tidak sepenuhnya 
menerima pimpinan 

Engkau ingin berjuang 
tapi tidak begitu setia kawan 
Engkau ingin berjuang 
tapi tidak sanggup berkorban 
Engkau ingin berjuang 
tapi ingin jadi pemimpin 
Engkau ingin berjuang 
menjadi pengikut agak segan 




Engkau ingin berjuang 

tolak ansur tidak engkau amalkan 

Engkau ingin berjuang 

tapi tidak sanggup terima cabaran 

Engkau ingin berjuang 

kesihatan dan kerehatan 

tidak sanggup engkau korbankan

Engkau ingin berjuang 
tapi tidak mampu menerima ujian 
Engkau ingin berjuang 
tapi rosak oleh pujian 
Engkau ingin berjuang 
tapi tidak sepenuhnya 
menerima pimpinan 

Engkau ingin berjuang 
masa tidak sanggup engkau luangkan 
Engkau ingin berjuang 
karenah isteri tidak engkau tahan 
Engkau ingin berjuang 
rumah tangga lintang pukang 
Engkau ingin berjuang 
diri engkau tidak engkau tingkatkan 

Engkau ingin berjuang 
disiplin diri engkau abaikan 
Engkau ingin berjuang 
janji kurang engkau tunaikan 
Engkau ingin berjuang 
kasih sayang engkau cuaikan 
Engkau ingin berjuang 
tetamu engkau abaikan 






Engkau ingin berjuang 

anak isteri engkau lupakan 

Engkau ingin berjuang 

ilmu berjuang engkau tinggalkan 

Engkau ingin berjuang 

kekasaran dan kekerasan engkau amalkan 


Engkau ingin berjuang 

pandangan tidak diselaraskan 

Engkau ingin berjuang 

rasa bertuhan engkau abaikan 

Engkau ingin berjuang 

iman dan taqwa engkau lupakan 


Yang sebenarnya apa yang engkau 

hendak perjuangkan?? 





sebuah lirik nasyid dari Qathrunnada,..Apakah engkau benar pejuang??? 


terasa begitu sedih mengenang diri yang semakin jauh dari erti pejuang sebenar?? 

Kerana kurangnya ilmu,.. 

telah muslimkah kita dari sudut akidah?? 

dari sudut akhlak?? 

dari sudut ibadah?? 


Jauh lagi untuk meniti kesempurnaan iman,..menghayati kehidupan bertauhidkan ALLAH,..dan sunnah Rasulullah s.a.w. 


Apatah lagi,..persoalan apakah yang telah kita buat untuk ISLAM??? 

Apa yang telah kita buat untuk ISLAM?? 


Wahai yang mencari cinta,..bersamalah berjalan mencari cinta ILAHi 

hanya DIA cinta yang agung,.. 

jangan biarkan diri kita terbiar tanpa pimpinan,... 

terus berterusan jauh dari ALLAH,... 


YA ALLAH.... 


apakah kita telah berjuang?? 

bersamalah berjuang menegakkan ISLAM dalam diri,... 

pohon itu kukuh apabila akarnya kukuh mencengkam bumi,.. 

itulah akidah yang kukuh,..perlu digenggam dengan kukuh,.. 


Allohu ghoyatuna 

Ar Rosulu qudwatuna 

Al Quranu dusturuna 

Al Jihadu sabiluna 

Al Mautu fi sabilillah, asma amanina 

ﷲﺍ adalah tujuan kami, 
Rasulullah teladan kami 
Alquran pedoman hidup kami, 
Jihad adalah jalan juang kami 
Mati di jalan ﷲﺍ adalah, 
Cita-cita kami tertinggi 

* nasihat untuk diri ana sendiri yang fakir,... : (,... 
dan para sahabat,..

tambah ilmu lagi :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...