....::: PENGIKUT :::....

5.2.12

Falsafah seekor Nuri…




Ada sebuah kedai menjual binatang peliharaan yang menjual pelbagai jenis burung. Ada burung merpati, ada burung tekukur, ada burung pipit dan pelbagai lagi jenis burung peliharaan. Dalam kalangan burung yang banyak itu, ada seekor burung nuri yang cukup petah berkata-kata.
Nani namanya. Burung ini telah dipelihara oleh pemilik kedai itu sejak dari kecil lagi. Nani mempunyai satu kelebihan. Setiap kali ada yang memasuki kedai itu, Nani akan terus memberikan ucapan “Assalamualaikum”.
Ucapan ini diucapkan berulang-ulang kali tanpa jemu setiap kali pelanggan memasuki kedai itu. Hasil kelebihan burung inilah, kedai ini sentiasa menjadi tumpuan para pencinta haiwan peliharaan. Nuri diletakkan di dalam sebuah sangkar berhampiran dengan pintu masuk kedai tersebut.
Pada satu hari, masuklah seorang lelaki Inggeris ke dalam kedai tersebut. Lelaki ini seorang atheist dan cukup anti dengan sebarang bentuk amalan yang mencerminkan agama. Takkala lelaki ini memasuki kedai, Nani seperti kebiasaan terus mengucapkan ucapan salam kepadanya.



Lelaki ini terus berubah menjadi marah dan merenung tepat kepada si Nuri itu. Nani direnungnya tanpa berkelip. Nani kemudiannya memberikan ucapan salam sekali lagi kepada lelaki itu memandangkan dia masih belum melangkah masuk melepasi sangkarnya. Satu bentuk rutin yang telah diajarkan kepadanya sejak dari dahulu lagi.
Takkala mendengar lagi ucapan salam itu, lelaki itu menjadi marah dan menghendik dengan kata-kata kesat kepada Nani. Nani hanya berdiam diri. Berang melihat keadaan itu, lelaki itu bertindak menggoncang-goncangkan sangkar Nani.
Burung itu terbang tidak tentu hala sebentar dan kemudiannya hinggap kembali ke tempat bertenggeknya. Letih bersikap demikian, lelaki itu berdiri dan merenung kembali si Nuri itu. Tidak lama kemudian, Nani memberi salam kembali kepada lelaki tersebut. Lelaki itu berdiam diri dan berfikir sejenak.
Tiba-tiba terlintas di fikirannya untuk melakukan sesuatu yang buruk kepada si Nuri. Setelah menoleh dan memastikan tuan punya kedai terlalu sibuk melayan pelanggannya, lelaki itu mengambil sebotol racun yang kebetulan ada di dalam poketnya. Racun yang tidak berbau dan berwarna. Dia menuangkan racun itu ke dalam bekas minuman Nani. Lelaki berkenaan mengangkat kaki setelah berjaya melakukan tindakan itu.
Nani meneruskan lagi rutin kehidupannya seperti biasa. Terus menerus memberikan salam kepada sesiapa yang memasuk ke dalam kedai. Setelah beberapa ketika, burung itu berasa haus dan meneguk air yang telah diracuni itu. Nani berasa cukup sakit dan lemah. Tiba-tiba ia jatuh rebah dan kemudiannya mati.
Jalan cerita di atas sebenarnya merupakan satu analogi kepada kehidupan umat Islam sekarang. Ramai yang tahu menyatakan diri mereka Islam, namun ucapan itu sekadar hanya meniti di atas bibirnya sahaja. Diulang-ulang ibarat sang Nuri tanpa difahami erti sebenar yang terkandung di dalamnya.
Takkala musuh melakukan sesuatu yang memudharatkan, mereka bangkit menyelamatkan diri. Takkala musuh berdiam diri, kita turut sama berdiam diri. Diam musuh diam berisi, diam kita tin kosong. Musuh sentiasa gigih berfikir pelbagai cara lain untuk menjahanamkan agama ini. Jahanam dengan cara tanpa boleh dibuktikan kejahatan mereka.
Maka digunakanlah pelbagai jenis “ racun-racun ” berbisa yang bukan sahaja menggugat aqidah, malahan meresap dan mematikan umat ini. Mematikan roh perjuangan umat yang ramai ibarat buih di lautan. Maka matilah seorang demi seorang muslim yang sedang leka dicandui fatarmogana kehidupan. Mempunyai akal namun tidak digunakan sebaik-baiknya. Satu kitaran bodoh kehidupan yang berulang-ulang…..
“ Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau & main-main sahaja. Dan sesungguhnya akhirat itulah sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui. ”
(Surah Al-Ankabut, ayat 64)

tambah ilmu lagi :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...