....::: PENGIKUT :::....

23.7.12

Apabila Agama Menjadi Fitnah

Saya seorang yang berlatar belakang agama yang biasa. Oleh kerana Abah adalah seorang ustaz, saya juga kadangkala mendapat tempiasnya. Alhamdulillah persekitaran yang baik menjadikan saya terdedah dengan perkara yang baik dan sentiasa mahu lakukan yang baik.



Namun cabaran duniawi tidak dapat lagi dinafikan. Semakin saya membesar dan mengenali ramai orang, saya semakin tertarik dengan pelbagai cara hidup yang indah dan mempesonakan. Gaya hidup kebendaan dan hiburan. Saya sendiri merasa rugi jika saya tidak mencubanya. Namun kadang kala latar belakang agama saya menghalang saya untuk mencubanya. Maka saya rasakan hidup saya terbatas dan terkongkong.

Entah dari mana datangnya bisikan yang banyak menyuruh saya mencuba pelbagai nikmat dunia. Maka saya mencari banyak dalil yang membolehkan saya untuk mencubanya seterusnya 'menghalalkan' perbuatan saya dan mungkin membuatkan saya berasa tidak berdosa.

Atas nama kesederhanaan, saya mula berpendapat hidup ini perlu seimbang. Dunia pun kita kejar, akhirat pula jangan kita tinggalkan. Maka saya mula berjinak-jinak dengan banyak hal dunia. Hiburan, bergaul rapat dengan bukan mahram dan mementingkan harta. Dalam masa yang sama saya juga bersolat. Malah saya jarang tinggalkan solat berjemaah Maghrib dan Isyak di masjid yang berdekatan.

Saya juga menyertai beberapa organisasi keagamaan kerana saya cenderung dan minat dalam bidang dakwah. Sekiranya ada program dakwah, saya tidak akan tegah untuk menolaknya jika ada yang mengajak. Malah ada yang memanggil saya ustaz kerana kadangkala saya berpeluang berceramah di hadapan umum dan mampu mengeluarkan hadis dan ayat Al-Quran. Alhamdulillah...




Pada satu saat saya merasakan diri saya bagus. Saya lakukan aktiviti dakwah. Saya berkelakuan baik dan dihormati ramai orang. Hanya dengan penampilan saya, mereka merasakan saya baik. Tetapi dalam kebaikan itu, tanpa sedar saya juga banyak melakukan perkara yang batil dan dosa. Saya sudah kurang menjaga batas pergaulan. Kata-kata saya mula celupar. Usikan saya kadangkala mengguris hati ramai orang. Di saat inilah bila saya amati dan fahami keadaan diri saya, rupanya saya sudah jauh tersilap langkah. Tidak hairanlah saya selalu mengalami kegelisahan yang saya tidak tahu dari mana puncanya.

Hati saya mula berbolak-balik. Akhirnya saya akur dan bertekad untuk menghentikan semua pemahaman saya dahulu. Nampaknya kefahaman saya sebelum ini menjerumuskan saya dalam dunia fitnah yang sungguh besar. Fitnah pada agama.

"Alah, selalu pergi surau pun keluar dating juga"

"Selalu jadi imam, ada parti pun pergi, siap berkaraoke lagi"

"Dia yang tak tinggal solat pun boleh buat jahat, aku ni lagi la boleh"

Sedikit sebanyak perkataan di atas terdengar di telinga saya. Walaupun perkataan itu tidak ditujukan kepada saya, saya seperti terasa dan saya tahu ia adalah salah.

Hati saya terasa sungguh berdosa kerana telah menyumbang kepada fitnah ini. Saya mula menyesal dengan perkara yang saya telah lakukan dan bertekad untuk menghentikannya. Biarpun tidak mampu meninggalkan semua, namun saya mesti mencuba.

Semoga Allah mengasihani saya dan memberi kekuatan kepada saya untuk terus menentang arus duniawi yang selalu menjatuhkan nilai iman di hati saya.



Saya mula sedar kebaikan dan kejahatan tidak boleh dicampur aduk. Jika seseorang telah bertekad mahu menjayakan bidang dakwah, beliau juga perlu bertekad untuk menjaga setiap tingkah lakunya supaya manusia lain bukan hanya mendengar dari mulutnya atau membaca dari penulisannya, malah pada perbuatannya setiap hari.


Seorang pendakwah berusaha menjadikan dirinya orang yang mampu membawa agama biarpun berada dalam arus duniawi yang menentang gerakan dakwahnya. Di samping membuat beberapa pembaharuan kaedah yang seiring dengan perkembangan dunia moden, tetapi masih tidak lari daripada syariat agama.

"Dan janganlah kamu campuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahui."
(Surah Al-Baqarah: Ayat 42)

Insan Datang Dan Pergi



Sepanjang hidup kita, tidak terkira insan-insan yang hadir dan yang pergi. Ada yang hadirnya hanya seketika seperti bayu. Dia datang dan pergi begitu sahaja tanpa terkesan apa-apa dan mungkin kita tidak perasan pun akan kehadirannya, begitu juga dengan dia.

Ada pula yang datang dan begitu setia dengan kita tetapi kita tidak rasa pun kepentingan dirinya untuk terus bersama kita. Malah kadangkala mungkin kita rasa lebih baik dia tidak wujud daripada dia tidak memberi apa-apa manfaat untuk kita sehinggalah dia pergi buat selama-lamanya.

Ketika itulah baru kita rasa betapa dia sangat penting untuk kita. Pada masa itu, baru kita perasan kebaikan yang dia pernah buat untuk kita atau untuk insan-lain lain di sekeliling kita.

Pada masa itu juga, sudah tidak guna kita menangis kekesalan kerana tidak menghargai kewujudannya. Hanya doa dapat kita hadiahkan agar dirinya dirahmati di alam sana.

Ada pula yang sentiasa di sisi kita. Di saat kita susah dan juga senang. Dia sanggup buat apa sahaja untuk kita. Namun bagi kita, dia tidak lebih daripada tempat untuk meluahkan perasaan, tempat yang kita cari apabila menghadapi masalah tetapi di saat kita bahagia atau berjaya, kita seakan-akan terlupa akan kewujudannya.

Namun dia masih setia. Bila-bila masa sahaja kita cari dia, dia pasti ada untuk kita tetapi kita perlu tahu, dia juga manusia. Mungkin dia pernah makan hati dengan sikap kita. Cuma di hadapan kita, dia mungkin cuba sembunyikan perasaan itu sebaik mungkin.

Seandainya kita masih dungu, tidak mustahil suatu hari nanti dia akan membawa diri meninggalkan kita. Oleh itu, hargailah kewujudannya selagi mana dia masih di sisi kita.

Ada pula yang hadirnya berbeza dengan apa yang kita duga. Mungkin kita rasa dekat sangat dengannya membuatkan kita rasa mahu sahaja selalu bersama dengannya tetapi kita tidak tahu dalam hati dia mungkin dia rimas dengan kita. Kadangkala kita dapat capai dan genggam tangannya, tetapi belum tentu hati dia, kita dapat selami.

Mungkin kadangkala kita dapat melihat dia ketawa, tetapi kita tidak tahu apa makna disebalik senyumannya. Mungkin dia memang tidak suka berkongsi duka dengan sesiapa atau dia sememangya dia tidak percayakan kita.

Apabila dia menangis, kita ingat kehadiran kita dapat memujuknya, walhal kehadiran kita langsung tidak disenangi dan mungkin juga secara tidak sedar kitalah sebenarnya yang membuatkan dia menangis. Dalam keadaan seperti ini, kita perlu sedar, sebenarnya kehadiran kita banyak menyusahkan hidupnya. Kita perlu faham dia mungkin tidak sampai hati untuk memberitahu kita supaya meninggalkannya dan jangan menyusahkan hidupnya.

Ada juga yang hadirnya memberikan sinar dalam hidup kita. Apabila berada bersamanya kita rasa begitu tenang dan kita rasa tidak mahu berpisah dengannya. Kita sanggup lakukan apa sahaja agar dapat bersamanya. Kita jaga hati dia agar dia tidak terluka. Kita sanggup jadi tempat dia meluahkan segala masalah dia.

Kadangkala kita sendiri tidak sedar yang kita telah menjadi seorang yang sangat baik apabila bersama dengannya tetapi akhirnya, tanpa sebarang sebab, tiba-tiba kita ditinggalkan. Kadangkala kita langsung tidak faham dan tertanya-tanya, kenapa kita ditinggalkan?

Kita rasa kita sudah lakukan yang terbaik untuknya tetapi masih ditinggalkan. Kesannya mungkin sangat mendalam kerana kehadirannya benar-benar bermakna dalam hidup kita. Dalam keadaan ini, kita mungkin akan berubah sepenuhnya. Hati kita cukup terluka sehingga tidak sanggup untuk membuka hati kita untuk kehadiran insan lain. Kita juga tidak akan mendengar apa sahaja nasihat daripada insan-insan lain di sekeliling kita, hanya masa yang dapat menyembuhkannya.

Ada pula yang hadirnya menyembuhkan luka kita. Hadirnya banyak memberi sokongan dan dorongan kepada kita agar meneruskan kehidupan. Dia umpama pakar kaunseling untuk kita. Dia banyak mengingatkan kita, menyedarkan kekurangan kita dan mengubah tabiat buruk kita yang mungkin menjadi penyebab kenapa kita ditinggalkan.

Secara tidak sedar, kita sudah pulih daripada luka lama di atas nasihat dan sokongan darinya. Pada pandangannya, mungkin dia ingat kita sudah boleh berdiri sendiri dan mungkin dia rasa kita dah betul-betul pulih. Lalu dia meninggalkan kita.

Bagi kita pula, selama ini kita harapkannya akan terus bersama dengan kita. Kita hanya kuat apabila dia ada bersama kita, sedangkan dia tidak tahu sebenarnya segala kekuatan dan ketabahan itu ada bersamanya. Apabila dia pergi, maka hilanglah kekuatan itu dan kita terus mencari diri. Terasa sudah tidak percaya lagi kepada sesiapa pun, terasa ingin hidup sendiri, berdikari dan tidak mahu bergantung hidup pada sesiapa pun.

Tanpa kita duga atau tanpa kita harapkan ada pula insan yang sebelum ini pernah meninggalkan kita kembali semula ke pangkuan kita. Namun hati kita sukar kita fahami. Mungkin dengan senang hati kita dapat terima dia semula atau mungkin juga kita tidak dapat terima dia kerana sememangnya kita tidak pernah maafkannya kerana meninggalkan kita.


Dalam hati kita meraung dan bertanya, kenapa baru sekarang, bukan tiga atau empat tahun dahulu?

Mungkin juga hati kita dah tersangat keras atau sudah mati. Hati kita sudah tidak dapat terima dia lagi walaupun kita sudah memaafkannya lama duhulu. Mungkin juga dengan kehadirannya semula membuatkan hati kita yang masih berparut kembali terluka kerana dengan kehadirannya menjadikan kita ingat semula kedukaan lalu yang sebelum ini sudah terpadam dalam memori hidup kita.

Begitulah rencah dunia, kita tidak akan tahu siapa kawan dan siapa lawan sehinggalah sampai satu masa kita jatuh. Adakah tangan itu akan menghulurkan bantuan atau kita akan ditinggalkannya.

Kita tidak perlu risau memikirkan tangan mana yang akan menghulurkan bantuan dan tangan mana yang akan berpeluk tubuh dan seterusnya meninggalkan kita di saat kita sangat-sangat memerlukannya kerana apabila kita ikhlas menghulurkan tangan tidak kira kepada sesiapa pun, pasti akan ada tangan lain yang akan menghulur di saat kita memerlukan biarpun tangan tersebut bukanlah tangan yang pernah kita bantu dahulu.

Oleh itu, lebih baik kita bersifat ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada manusia. Berharaplah hanya untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Kita juga perlu sentiasa ingat, hidup kita sentiasa berputar. Jika kita pernah meninggalkan seseorang atau melukakan hati seseorang, tidak mustahil kita juga akan dilukai dan ditinggalkan suatu hari nanti dan mungkin kita akan dapat yang lebih teruk daripada apa yang pernah kita lakukan pada orang lain.

Tuhan, Aku Terlalu Banyak Dosa



Pejam celik. Pejam celik. Mata tidak juga bisa ditutup. Memerhatikan segenap ruang bilik. Terpana pada jam di dinding. Sepantas jarum saat akhirnya pasti berhenti. Tatkala,manusia pasti akan toleh ke belakang. Memikirkan tiap detik yang berlalu. Muhasabah.



Dalam suka duka, mengenang dosa-dosa semalam. Hadir rasa kesal dan kesedihan mula melanda diri. Bila rasa bersalah hadir, rasa kehambaan juga turut hadir. Mencari Tuhan, mengingati Tuhan, menyebut-nyebut nama-Nya. Menghadirkan rasa bertuhan agar menyentap sanubari.




"Ya Allah,hamba-Mu ini rasa berdosa. Terlalu. Terlalu banyak dosa."

Maka berderailah air mata. Tidak tertahan-tahan lagi. Pada tangisan ia kembali kepada fitrah insani, mencari Tuhan tatkala rasa bersalah. Terlukis kerinduan hadir dari hati yang dihimpit perasaan ingin dibelai Tuhan.

Oh Tuhan.

Aku manusia biasa. Aku bukan malaikat. Manusia itu sering lupa dan leka. Gembira dengan kesenangan, sedih dengan kesusahan. Kiranya aku fikirkan aku sudah cukup bahagia. Tapi adakah aku tenang? Hari-hariku bukan lagi mentaddabur bacaan Al-Quran. Solatku kini bukan lagi khusyuk. Hatiku tidak lagi dijamu dengan roh usrah, tazkirah dan ceramah setiap hari. Aku lalai di sini.


Di sini. Di celah kesibukan.

Tapi aku bukan manusia jahat. Tidak pernah sesekali ku teguk minuman syaitan. Tidak pernah ku menjejakkan kakiku ke tempat maksiat. Aku tidak menyentuh yang bukan halal untukku. Aku hanya manusia biasa. Aku menunaikan sembahyang. Aku berpuasa di bulan Ramadan. Aku manusia biasa!

Tapi, kurasakan kini ibadahku seakan-akan tiada roh.
Tiada rasa haya' kepada-Mu! Tiada rasa takut kepada-Mu!
Di manakah semangat itu menghilang?
Di manakah air mata yang sering mengiringi bacaan doa?

Hatiku tidak dapat merasai kenikmatan doa. Aku jadi takut. Pelbagai perkara bermain di fikiranku. "Ya Allah gelapnya hati hambaMu ini!". Hati meronta-ronta, lepaskanlah aku! Lepaskan aku daripada perasaan ini. Diri seakan-akan terasa sangat jauh daripada-Mu.

Hati manusia ibarat besi. Setiap dosa yang dilakukan akan melekatlah karat padanya. Tapi karat itu boleh di cuci dengan solat dan doa. Namun lama kelamaan jika karat itu tidak dibersihkan, akan semakin besarlah ia, dan semakin sukarlah untuk dibersihkan . Maka semakin hitam dan gelaplah hati kita. Ketika ini setiap dosa yang dilakukan tiada lagi dirasakan dosa bagi dirinya.

Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah.

"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang". (Surah Al-Ra'd 13:28)

Ku ulang-ulang. Ku panggil-panggil nama-Mu. Ku sebut-sebut nama-Mu. Kembalikanlah aku semula. Usah Kau palingkan aku setelah Kau beri hidayah petunjuk-Mu. Aku ini lemah Ya Allah. Kau peganglah hatiku, tautkanlah hatiku di jalan ini. Aku ingin tenang dalam mencari keredhaan-Mu di setiap perjalanan hidup ini.

Allah.

Aku tersedar. Aku tersentap. Kenapa aku mahu jadi orang biasa-biasa? Kenapa tidak ingin menjadi yang lebih baik? Tidak berbuat dosa tidak bermakna aku sempurna. Tidak minum arak tidak bermakna aku terlepas dari melakukan dosa-dosa kecil. Sembahyang 5 waktu tidak bermakna aku sempurna.

Bagaimana dengan dosa-dosa kecil? Aku lalai. Aku lalai! Aku lalai Ya Allah! Terima kasih ya Allah kerana menyedarkan aku. Terima kasih atas hidayah-Mu. Ku panjatkan segala doa kepada-Mu.

"Zikir itu, penghias hati, tasbih menghias lidah. Beruntungnya hati bila masa menguasai, bermegahlah lidah, dengan ucapan sering memuji Allah SWT"

Wahai Tuhan yang Maha Mendengar, kepada siapa hamba mahu mengadu, sekiranya bukan kepada-Mu? Kepada siapa lagi hendak hamba menagih simpati, jika tidak kepada-Mu? Kepada siapa untuk hamba pinta kekuatan, ketika seluruh daya seperti dicabut daripada tubuhku?



Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui. Tegarkanlah, pasakkan jiwa ini untuk berada pada jalan-Mu untuk selamanya. Jangan sekali-kali Kau biar diri ini tandus dimamah kefuturan. Menjauh dari-Mu, meminggir dari-Mu dan melupakan-Mu. Kuatkan hati ini wahai Tuhan. Kerana tiada siapa tahu kehidupan hamba-Mu ini nanti akhirnya melainkan hanya Engkau. Amin ya Rabb.

Aku Bukan Seperti Masa Silamku!

Bermula dengan celiknya mata di pagi hari, hingga terpejamnya mata di waktu malam, setiap daripada kita akan berhadapan dengan bermacam-macam pilihan. Nak bangun pukul berapa, mahu pakai baju warna apa, ingin makan apa, nak buat apa, nak pilih yang mana....Semuanya terpulang pada diri sendiri untuk memilih. Pendek kata, aktiviti membuat pilihan bukanlah suatu yang asing.

Sebab itu jalan cerita kehidupan setiap manusia berbeza. Ada zaman silamnya dipenuhi dengan noda dan dosa. Ada pula yang dilimpahi 1001 kenangan manis terindah. Dan ada yang diselingselikan dengan pelbagai ujian dan cabaran sehingga membuatkan jiwa seseorang insan itu begitu kental sekali menghadapinya.




Namun, dalam banyak-banyak aktiviti memilih jalan kehidupan, yang paling susah ialah sama ada mahu memilih islam yang jelas sebagai jalan hidup atau menelusuri jalan jahiliyyah yang penuh tipu daya.

Apakah yang dimaksudkan dengan jalan-jalan ini?

Apabila kita memilih islam sebagai jalan hidup, secara automatiknya kita sedang menjauhi jalan jahiliyyah. Dan apabila kita tidak memilih islam sebagai jalan yang patut dilalui, secara automatik jugalah kita sedang menjejak di jalan jahiliyah.
Jadi, Allah pilih kita untuk lakukan sesuatu mesti Dia tahu kita boleh lakukan.

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah Al-Baqarah ayat 286)


Kalau tak, kita tak akan dipilih oleh-Nya untuk terus hidup di muka bumi ini. Walau diri kita ini kotor, jijik dan penuh berdosa namun kita tetap masih ada peluang. Biarkan hati sembuh dari luka lama dan bangkitlah semula. Buktikan kepada Allah kita hamba yang reti bersyukur kepada-Nya. Kita tidak akan sesekali mensia-siakan peluang bertaubat yang diberi-Nya berkali-kali.

"Orang yang BERJAYA ialah orang yang MEMAKSA DIRInya BERUBAH manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa!"

Hidup ini adalah perubahan. Kata bijak pandai, yang tidak berubah hanyalah perubahan. Manusia tidak akan mampu menahan perubahan. Ia mesti berubah, atau dipaksa berubah. Mereka yang berubah dengan rela akan berjaya. Manakala yang berubah dengan terpaksa akan gagal.

Dan kita bukan seperti masa silam. Kita adalah kita yang sekarang.

When I'm With Him






Fatima puts her books into the locker. She looks at something which is pasted on the inside of her locker door and smiles. Her friend, Anis, sees her smiling from afar. Out of curiosity, Anis walks up to Fatima to check out what she is smiling about.

"Hey!" Anis surprises Fatima. Fatima jumps and automatically closes her locker door.

"Oops, sorry, Assalamu'alaikum," says Anis while smiling sheepishly.

Fatima shoots a dagger look at Anis. "Wa'alaikumussalam."

"Heh heh. What were you smiling about?" Anis asks eagerly.

"Wha? Oh ...eh, how did you know I was smiling? Were you stalking me or something?" Fatima looks at Anis questioningly.

Anis smiles innocently. "Aw, come on, you can tell me. Is he your new crush?" asks Anis while wiggling her eyebrows.

"What?! Crush? ... Hmm, he is not exactly my crush. And he is not 'new'. Technically, he has been there for me since, like, forever..." Fatima stares dreamily into space.

"Oi! There you go, again. Thinking about him, huh?" Anis nudges her friend.

"Eheh. Sorry," Fatima replies and smiles sheepishly.

"So, what makes him so special?"

"Ah, first and foremost, he loves me. You know, he is always there for me. He teaches me the right way to do things. Even when I do things that are against his teachings, he still forgives me..." Fatima's eyes start to water.

"Wow..."

"...He also gives me strength to go on in this life. He never leaves my side. He always listens to me no matter how ridiculous my stories are. Yup, I can totally be myself around him. And when I'm with him, I feel stronger. You know, I feel like I can totally achieve what I want in my life because I know he will help me. He gives me confidence..."

"Wow, again..."

"The funny thing is, I didn't know that he was with me the whole time. You know how I used to be sad and depressed all the time? Now, that I'm with him, I don't anymore. He is just so special, you know?"

"Woah, Fatima, you're totally in love, girl! Pleaseeeeee I'm dying to know his name!"

Right at that moment, the bell rings. Fatima suddenly remembers that her class is about to start soon. She only manages to wink at Anis before zooming off to class. Anis sighs and scurries off to her class.



In the English class, Fatima and her classmates are asked to write a short poem about the one that they love most in the world. It can be a person, a hobby or anything. As long as they hold it dear to their hearts. Fatima knows who she is going to write a poem about the second her teacher finishes giving her instruction.

When I'm With Him

I never feel lonely

I feel real love

I feel like I can be myself

I feel strong

I feel like I can achieve anything

I feel grateful

Because I am finally with HIM

Where I belong




"Gosh, you're so loved up!" Fatima jumps to the familiar voice, again. She looks up and sees Anis ...with a glee on her face.

"Anis, stop surprising me!" she playfully shoves Anis. "What are you doing here anyway?"

"You promised to have lunch with me yesterday, remember? So, here I am. Waiting for you to stop day-dreaming so we can have lunch together," says Anis while gesturing towards the cafe.

"Oh, right. Yup, let's go," Fatima says while dragging Anis to the cafe.



"So, who is your special someone? Please Fatima, you're killing me here. Is it Daud? Or Ahmad? Or that dude who works at Pizza Hut that you thought were, er, 'cute'?" Anis asks Fatima when they are finally seated at a table at the cafe. Her eyes are bulging with anticipation.

"What? No! He is waaaaaaaaaaaayyy more special than them," Fatima says and smiles widely.

"Okay, then tell me who he is already!" Anis frowns.

"Aw, don't be mad. Okay, I'll tell you tomorrow. Meet me at my locker in the morning before class. You know, the exact same place where you ambushed me this morning..."

"What? Tomorrow? I'll die by tomorrow! Tell me today!"

"Don't be a drama queen," Fatima brushes off her friend's threat and pops in a small meatball into her mouth.



The next morning, Anis is already standing in front of Fatima's locker with a look of excitement on her face when Fatima arrives at school.

"Assalamu'alaikum, you're strangely early today," says Fatima while opening her locker door.

"Wa'alaikumussalam. What? I'm always early..."

Fatima laughs softly while loading books into her locker.

"Are you ready to know who my love is?" she asks Anis who is standing behind the locker door.

"Yup. Have been ready since yesterday."

Fatima opens her locker door widely so Anis can see what is pasted on the inside.

"Masya-Allah!" is the only word that comes out of Anis' mouth.

Air Dicincang Takkan Putus

Adik-beradik kita sebenarnya merupakan satu anugerah yang tidak terhingga. Bukan semua orang di atas dunia ini dapat memiliki adik-beradik. Namun, saban hari kita terdengar dan terlihat di dada akhbar kes-kes pergaduhan antara ahli keluarga, malahan ada yang sampai ke tahap memutuskan hubungan silaturrahim antara adik-beradik.

Jelas, semakin hari tindakan manusia bukan lagi didorong oleh syariat dan kasih sayang. Ada kala tindakan kita bertentangan dengan hukum Allah seperti dalam firmanNya yang bermaksud:





"Maka apakah ada kemungkinan jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang yang dilaknati Allah dan ditulikan mereka dan dibutakan penglihatan mereka."
(Surah Muhammad, ayat 22-23)

Usah kita lupa bahawa nikmat memiliki adik-beradik ini tidak lain hanyalah pinjaman sementara daripada Allah SWT untuk seseorang hambanya.

"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah..."
(Surah al-Baqarah, ayat 284)

Adik-beradik juga menjadi tempat bergantung antara satu sama lain setelah ketiadaan orang tua. Selalunya abang-abang dan kakak-kakak atau yang lebih tua akan mengambil alih tugas menjaga adik-adiknya setelah ketiadaan orang tua. Apabila matinya seorang ayah bagi seorang anak perempuan, maka adik-beradik lelakinya akan menggalas tugas sebagai wali.

Perlu dititikberatkan dalam menjaga hubungan antara adik-beradik ini ialah sifat kasih sayang dan rasa hormat antara satu sama lain. Sebagai contoh, adik-adik perlu menghormati kedudukan abang dan kakaknya selagi tindak tanduk mereka tidak bertentangan dengan syariat Allah. Bahkan, wajib bagi seorang anak itu menjaga hati abang dan kakaknya dengan tutur kata yang baik dan juga dari segi perbuatannya. Setiap perbuatan yang mungkin menguris hati saudara kita akan menjadi titik permulaan sesuatu perbalahan justeru membawa kepada pepecahan.

Dan antara perkara penting dalam menghargai kurniaan Allah ini kepada kita ialah menjaga adab sesama adik-beradik. Andai kata ada perkara salah dan silap dilakukan oleh adik-beradik kita, maka tegurlah dengan cara yang berhikmah kerana dengan itu pihak yang ditegur akan merasa lebih selesa untuk menerima teguran, bahkan marasakan diri mereka lebih dihargai.

Sentiasalah kita memohon perlindungan daripada Allah daripada ancaman dan rancangan jahat syaitan yang seringkali cuba memecahbelahkan hubungan kekeluargaan yang sukar dibina oleh ibubapa kita. Wujudnya adik-beradik ini bukan sekadar menunjukkan kekuasaan Allah yang memberikan rahmat kepada kita, tetapi ia adalah tanda hasil usaha penat lelah kedua ibu bapa kita yang melahirkan serta bekerja keras untuk membesarkan kita semua. Percayalah, keberkatan yang dikurniakan Allah memalui hubungan silaturrahim akan membawa kepada terbukannya pintu-pintu rezeki. ''Barangsiapa yang ingin dimudahkan rezeki dan dipanjangkan usianya, hendaklah ia sentiasa menjaga silaturahim.'' (Hadis Riwayat Muslim)

Memang sukar bagi mereka yang hidup dalam keluarga yang ramai adik-beradik untuk menjaga keharmonian dalam keluarga, namun peranan menjaga hubungan antara adik-beradik ini adalah perlu untuk memastikan hubungan silaturrahim sentiasa berada dalam keadaan kukuh.

Walau apapun yang berlaku, jangan dilupa pepatah yang mengatakan hubungan adik-beradik ini umpama "air yang dicincang, tidak akan putus". Hargailah mereka kerana mereka juga darah daging kita sendiri.

Wallahu'alam.

tambah ilmu lagi :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...