Saya seorang yang berlatar belakang agama yang biasa. Oleh kerana Abah adalah seorang ustaz, saya juga kadangkala mendapat tempiasnya. Alhamdulillah persekitaran yang baik menjadikan saya terdedah dengan perkara yang baik dan sentiasa mahu lakukan yang baik.
Namun cabaran duniawi tidak dapat lagi dinafikan. Semakin saya membesar dan mengenali ramai orang, saya semakin tertarik dengan pelbagai cara hidup yang indah dan mempesonakan. Gaya hidup kebendaan dan hiburan. Saya sendiri merasa rugi jika saya tidak mencubanya. Namun kadang kala latar belakang agama saya menghalang saya untuk mencubanya. Maka saya rasakan hidup saya terbatas dan terkongkong.
Entah dari mana datangnya bisikan yang banyak menyuruh saya mencuba pelbagai nikmat dunia. Maka saya mencari banyak dalil yang membolehkan saya untuk mencubanya seterusnya 'menghalalkan' perbuatan saya dan mungkin membuatkan saya berasa tidak berdosa.
Atas nama kesederhanaan, saya mula berpendapat hidup ini perlu seimbang. Dunia pun kita kejar, akhirat pula jangan kita tinggalkan. Maka saya mula berjinak-jinak dengan banyak hal dunia. Hiburan, bergaul rapat dengan bukan mahram dan mementingkan harta. Dalam masa yang sama saya juga bersolat. Malah saya jarang tinggalkan solat berjemaah Maghrib dan Isyak di masjid yang berdekatan.
Saya juga menyertai beberapa organisasi keagamaan kerana saya cenderung dan minat dalam bidang dakwah. Sekiranya ada program dakwah, saya tidak akan tegah untuk menolaknya jika ada yang mengajak. Malah ada yang memanggil saya ustaz kerana kadangkala saya berpeluang berceramah di hadapan umum dan mampu mengeluarkan hadis dan ayat Al-Quran. Alhamdulillah...
Pada satu saat saya merasakan diri saya bagus. Saya lakukan aktiviti dakwah. Saya berkelakuan baik dan dihormati ramai orang. Hanya dengan penampilan saya, mereka merasakan saya baik. Tetapi dalam kebaikan itu, tanpa sedar saya juga banyak melakukan perkara yang batil dan dosa. Saya sudah kurang menjaga batas pergaulan. Kata-kata saya mula celupar. Usikan saya kadangkala mengguris hati ramai orang. Di saat inilah bila saya amati dan fahami keadaan diri saya, rupanya saya sudah jauh tersilap langkah. Tidak hairanlah saya selalu mengalami kegelisahan yang saya tidak tahu dari mana puncanya.
Hati saya mula berbolak-balik. Akhirnya saya akur dan bertekad untuk menghentikan semua pemahaman saya dahulu. Nampaknya kefahaman saya sebelum ini menjerumuskan saya dalam dunia fitnah yang sungguh besar. Fitnah pada agama.
"Alah, selalu pergi surau pun keluar dating juga"
"Selalu jadi imam, ada parti pun pergi, siap berkaraoke lagi"
"Dia yang tak tinggal solat pun boleh buat jahat, aku ni lagi la boleh"
Sedikit sebanyak perkataan di atas terdengar di telinga saya. Walaupun perkataan itu tidak ditujukan kepada saya, saya seperti terasa dan saya tahu ia adalah salah.
Hati saya terasa sungguh berdosa kerana telah menyumbang kepada fitnah ini. Saya mula menyesal dengan perkara yang saya telah lakukan dan bertekad untuk menghentikannya. Biarpun tidak mampu meninggalkan semua, namun saya mesti mencuba.
Semoga Allah mengasihani saya dan memberi kekuatan kepada saya untuk terus menentang arus duniawi yang selalu menjatuhkan nilai iman di hati saya.
Saya mula sedar kebaikan dan kejahatan tidak boleh dicampur aduk. Jika seseorang telah bertekad mahu menjayakan bidang dakwah, beliau juga perlu bertekad untuk menjaga setiap tingkah lakunya supaya manusia lain bukan hanya mendengar dari mulutnya atau membaca dari penulisannya, malah pada perbuatannya setiap hari.
Seorang pendakwah berusaha menjadikan dirinya orang yang mampu membawa agama biarpun berada dalam arus duniawi yang menentang gerakan dakwahnya. Di samping membuat beberapa pembaharuan kaedah yang seiring dengan perkembangan dunia moden, tetapi masih tidak lari daripada syariat agama.
"Dan janganlah kamu campuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahui."
(Surah Al-Baqarah: Ayat 42)