....::: PENGIKUT :::....

25.9.09

Satu PM – Satu Ajaran Baru – Satu Peruntukan Baru

Saban hari kita sering dimomokkan dengan slogan basi pemimpin Negara, tidak kira Negara kita atau mana-mana Negara umat Islam di seluruh dunia. Semasa pemerintah Tun Dr Mahathir Mohammed dulu slogan Wawasan 2020 diperkenalkan. Kain rentang, billboard dan papan iklan dengan tulisan Vison 2020 (Wawasan 2020) terpampang di merata tempat . Perbelanjaan untuk melaksanakannya bukannya sedikit, berjuta wang rakyat Malaysia dibelanjakan. Di institusi pengajian tinggi pula, puluhan seminar untuk membincangkan idea baru ini diadakan. Para cendekiawan Melayu dan Islam tidak kering gusi memuji-muji kecanggihan idea ini. Hari berganti, pesaka bergilir, jawatan PM bertukar tangan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tiba-tiba, wawasan 2020 tidak lagi serancak dulu, malah mula tidak dipedulikan lagi.

Pada zaman Pak Lah, dengan nasihat ‘orang tingkat 4’, terserlahlah konsep Islam Hadhari. Kali ini, Pak Lah mengusung idea Islam Hadhari untuk melawan propaganda PAS, “Membangun Bersama Islam” dan juga mempropagandakan kepada rakyat Malaysia bahawa Islam PAS adalah 'Islam Hukuman' sahaja. Menurut pejuang Islam Hadhari ini, Islam yang dia bawa adalah Islam sebenar yang bukannya hanya menitik-beratkan aspek hukuman. Menurut pejuang Islam Hadhari ini Islam itu luas, Islam itu bertamadun dan bukan seperti penafsiran sempit dari parti PAS. Tidak cukup dengan itu diwajibkan pula para penceramah JAKIM untuk memberikan ceramah tentang Islam Hadhari. Tapi selalunya para penceramah JAKIM ini terus bungkus beg apabila habis perbincangan, tidak ada sessi soal-jawab.

Islam Hadhari ini hakikatnya menjadi bahan lawak dalam media massa arab dan juga Malaysia dengan pelbagai gelaran yang diberikan. Islam Hadhari hakikatnya menerima kritikan yang banyak, bermula dari komen terhadap pelopornya yang suka tidur secara rasmi dalam majlis rasmi, penggunaan nama yang bercanggah dengan konsep Islam sehinggalah kepada aspek perlaksanaannya. Kemudian sekali lagi masa bergulir, pesaka bergilir dan dengan rendah hati PM terpaksa akur dengan desakan dalaman untuk meletakkan jawatan.

Kini muncul PM baru dan slogan barunya - 1Malaysia. Dengan madah berhelah, beliau berjanji akan meneruskan dasar Islam Hadhari dan Wawasan 2020. Sekali lagi para cendekiawan sibuk membentangkan kertas kerjanya, seminar-seminarnya dan mungkin lepas ini kakitangan awam akan dipanggil untuk mengikuti Kursus 1Malaysia. Lebih menarik, ada cendekiwan Islam mengatakan bahawa konsep 1Malaysia ini sesuai dengan Islam, tanpa dalil dan tanpa penjelasan rapi tentang permasalahan ini.


Seperti biasa, setiap slogan baru perlukan poster baru, perlukan kain rentang baru, perlukan billboard baru dan perlukan leaflet dan artikel baru. Untuk menjayakannya, tidak cukup dengan slogan, perlu ditarbiyyah juga kader-kader Islam 1Malaysia, untuk mendakwahkannya kepada rakyat Malaysia.

Namun, walau seribu slogan datang dan pergi, hakikatnya tidak ada perubahan signifikan yang kita lihat pada rakyat ini. Umat Islam yang ada tetap terperuk ke belakang, undang-undang Islam tetap tidak diterapkan. Bahkan apa yang dapat kita perhatikan, seruan kepada isu-isu bersifat abstrak ini nampaknya lebih bertujuan untuk memesongkan umat dari memahami dan menerapkan Islam yang sebenarnya. Tindakan mereka yang menyerukan slogan-slogan ini, yang kononnya sesuai dengan Islam, adalah tidak ubah seperti yang diungkapkan oleh Syeikh Taqiuddin Al-Nabhani di dalam kitab Mafahim Hizbut Tahrir:

"… kesan dari kelemahan Daulah Islamiyyah yang disebabkan oleh banyak negeri-negeri yang asalnya satu, melepaskan diri lalu tunduk kepada sistem pemerintahan kufur. Ini kemudian disusuli pula dengan runtuh dan lenyapnya Daulah Islamiyyah, maka terciptalah halangan mental kaum Muslimin - satu gambaran kemustahilan akan berdirinya kembali Daulah Islamiyyah di mana hukum Islam dilaksanakan sebagai satu-satunya hukum yang harus diterapkan oleh Negara. Akibat halangan mental ini, mereka bersedia menerima begitu saja hukum lain yang bukan berasal dari Allah Swt. Mereka tidak melihat hal ini sebagai suatu bencana dan dosa, selama nama baik Islam tetap dijaga, sekalipun hukum Islam tidak diterapkan lagi. Mereka juga menyerukan agar aliran dan ajaran selain Islam harus dimanfaatkan bagi membantu penerapan ajaran Islam di dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini menyebabkan kaum Muslimin hanya berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa untuk mengembalikan Daulah Islamiyyah yang hakiki, serta berdiam diri melihat hukum kufur diterapkan di tengah-tengah kehidupan kaum Muslimin oleh orang-orang Islam sendiri. [Mafahim HT, hal.20]

Apa ada pada seribu slogan sedangkan Islam tidak ditegakkan? Sebutlah slogan apapun selama mana hukum Islam tidak diterapkan maka apa yang tinggal adalah tetap undang-udang jahiliyyah.. Sudah masanya untuk kita bergerak mengembalikan sistem Khilafah yang pasti menjamin kesejahteraan warganegaranya sama ada Muslim mahupun non-Muslim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

tambah ilmu lagi :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...